24 March 2011
Bersederhanalah.......
Oleh JOM
mSaK
Jika perlu marah , marahlah tetapi usah terlupa dengan perkataan sabar ; jika perlu menangis , menangislah tetapi usah terlupa dengan perkataan tenang ; jika perlu patuh , patuhlah tetapi jangan sampai hilang kemerdekaan .
Jika mahu miskin , miskinlah tetapi jangan terlalu miskin , nanti mudah menjadi kufur ; kalau mahu kaya , kayalah tetapi jangan terlalu kaya sampai terlupa perkataan sedekah ; jika mahu menjadi warak , lakukanlah ibadah sebanyak-banyaknya tetapi jangan sampai terlupa keperluan dunia .
Kalau mahu sebuah kereta mewah , belilah selagi mampu dan menepati keperluan semasa ; kalau mahu dua buah rumah , belilah asal jangan sampai tak tahu makna perkataan puas ; kalau mahu menimbun harta , bekerja keraslah asal jangan sampai terlupa ibadah .
Kalau mahu berhibur , berhiburlah asal tidak terlalu sakan dan menyalahi syariat ; kalau mahu memperkatakan hal orang , berkatalah asal jangan sampai mengumpat ; kalau mahu cemburu dengan kejayaan orang , cemburulah asalkan anda pun berusaha kuat sepertinya .
Hidup sederhana akan memastikan anda tidak akan miskin selama-lamanya . Bersederhana dalam segala hal adalah titik kejayaan dalam semua perkara . Orang yang terlalu kaya kadang-kadang apabila miskin terus muflis ; orang yang terlalu pandai kadang-kadang apabila bodoh terus sasau ; orang yang terlalu kuat kadang-kadang apabila lemah terus tidak berdaya .
Binalah harta sebanyak-banyaknya tetapi jangan sampai anda menjadi hamba kepada harta ; binalah ibadah banyak-banyak tetapi jangan sampai terlupa soal-soal dunia ; binalah kedudukan di tengah manusia tetapi jangan sampai hilang kepercayaan orang dan tercalar maruah diri .
Bukanlah seorang yang baik kalau beribadah sepanjang masa sedangkan untuk makan minumnya terpaksa meminta-minta . Seeloknya bersederhana dalam beribadah lantaran bekerja itu pun ibadah , membuang halangan di jalanan juga ibadah , menasihati orang juga ibadah .
Orang yang bersederhana sentiasa terpandang di mata dunia . Dia tidak akan hina oleh kemelaratan dan tidak terlalu tersohor oleh kepopularitian. Dia terpandang sepanjang masa baik oleh orang yang hina mahupun orang yang mulia . Berkuasanya bersederhana bagaikan pakaian yang menjadi penebat pada rasa dingin dan panas yang membakar .
Sayidina Ali r.a . berkata , " Berakhiratlah mengikut kemampuan dan janganlah menjadikan keluargamu hina dalam kemiskinan ."
Hendaklah bersedekah jangan sampai jatuh miskin ; menyimpan harta jangan sampai digelar si bakhil , beribadah jangan sampai semakin jahil .
Kata sayidina Ali r.a . lagi , " Insan tidak akan melihat kesalahan seseorang yang bersifat tawaduk dan lemah lembut ."
Tawaduk dan lemah lembut adalah kesederhanaan yang nyata , membangkitkan kasih sayang dan menumbuhkan cinta tulus . Jika anda impikan penghormatan manusia maka bersederhanalah dalam berbicara , berbatas-batas tatkala bergurau senda dan menyimpan sebahagian kesukaan ketika terlalu gembira .
Bersederhana adalah jawapan kepada segala-galanya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment