LEH JADI TENGOK JE???

16 January 2012

Cerita Permasalahan Gaji Isteri.

Sepasang suami isteri beranak dua tinggal di bandar besar. Selama ini hanya suaminya yang bekerja dengan pendapatan sekitar RM 4,000 sebulan. Dengan nilai sebegitu, segala keperluan asas hidup di kota boleh dikatakan beres, tetapi tidak mewah. Suatu ketika si isteri yang punya kelulusan terasa ingin berkerjaya pula. Selepas berbincang dengan si suami, si isteri pun diizinkan bekerja. Pendapatannya bagus juga, mencecah RM 3,000. 

Dari segi pendapatan keluarga, pasangan ini mendapat keuntungan besar. Kalau dulunya RM 4,000, kini sudah RM 7,000 sebulan. Masalah timbul... mereka berselisih faham tentang perjalanan pendapatan RM 7,000 sebulan itu. Si suami berasa si isteri patut juga mengeluarkan sebahagian gajinya untuk menguruskan keluarga. Si isteri pula berasa gajinya tidak boleh disentuh kerana harta isteri adalah milik isteri sepenuhnya. Jadi perjalanan hidup sehari-hari mereka ada sedikit ketidakselesaan hasil meningkatnya pendapatan bulanan keluarga mereka itu. 

Saya berikan panduan lebih kurang begini... 
1. Kedua-dua orang mesti faham dan akur... bahawa segala harta si isteri termasuklah pendapatannya adalah hak milik si isteri. Maka secara umumnya si suami tidak boleh menyentuh gaji si isteri. Selesai satu perkara. 
2. Kedua-dua orang juga mesti faham dan akur... bahawa si isteri berjaya mendapat pekerjaan dan pendapatan sebegitu hanyalah dengan keizinan si suami. Atas keizinan si suami, si isteri dapat RM 3,000 sebulan. Jika si suami tidak mengizinkan, si isteri dapat gaji RM 0 sebulan. Maka, isteri yang solehah tentunya akan menghargai keizinan si suami dengan sepadannya, dan sanggup berkongsi perbelanjaan menguruskan keluarga dengan jumlah yang sepatutnya. Diizinkan memperoleh RM 3,000 berbanding RM 0, padankah si isteri mengeluarkan hanya RM 100 sebulan untuk perbelanjaan keluarga, dan menyimpan atau mengguna RM 2,900 untuk dirinya sendiri? Timbang-timbangkan. 

3. Kedua-dua orang juga mesti faham dan akur... bahawa dengan keluar bekerjanya si isteri :

a. Perbelanjaan si suami bertambah untuk membeli susu anak. Sebelum ini percuma kerana si isteri menyusukan anak sendiri di rumah. 

b. Perbelanjaan si suami bertambah untuk membayar gaji pengasuh anak-anak. Sebelum ini percuma kerana si isteri yang menjaga anak-anak. 

c. Perbelanjaan si suami bertambah untuk makan minum. Apabila kedua-dua orang bekerja, makan malam biasanya di luar (restoran) kerana si isteri penat bekerja seharian. Silap-silap sarapan dan minum petang pun di kedai. Padahal sebelum ini belanjanya rendah kerana makan di rumah. 

d. Perbelanjaan si suami bertambah untuk pengurusan dan kebersihan rumah. Terpaksa menggunakan khidmat pembantu rumah ataupun memanggil orang membersihkan rumah seminggu dua kali. Ataupun pakaian dihantar ke kedai dobi. Sebelum ini percuma. 

Maka sifirnya begini... sebelum mengizinkan si isteri mendapat RM 3,000 sebulan, si suami tidak perlu mengeluarkan wang untuk susu, pengasuh, makan minum di luar hampir setiap hari, pembantu/pembersih rumah, dobi dan lain-lain. Selepas memberikan keseronokan kepada si isteri dengan pendapatan RM 3,000 sebulan, secara automatik si suami terpaksa pula mengeluarkan wang untuk menanggung itu semua. Maksudnya kegembiraan dan kekayaan isteri ditambah oleh suami, tetapi keserabutan dan kekurangan wang pula yang ditambah oleh si isteri buat suaminya. Yang si isteri tidak mengizinkan wangnya digunakan untuk perbelanjaan keluarga, semua RM 3,000 adalah hak mutlaknya, padahal semua perbelanjaan yang disebutkan di atas tadi berpunca daripada si isteri pergi bekerja. Kalau si isteri tidak pergi bekerja, semua perbelanjaan di atas boleh dikatakan tidak wujud. 

Si suami mengeluh, kalau ditahunya dia akan menanggung beban perbelanjaan sebegitu, lebih baiklah dia tidak memberi izin kepada isterinya bekerja tempoh hari. Bukannya keluarga mereka bertambah mewah, tapi bertambah parah. Bukannya selama ini mereka tidak cukup makan minum dan tidak sempurna pengurusan keluarga, cuma mahu duit lebih kononnya untuk hidup yang lebih selesa. Ingatkan dengan bertambahnya duit, bertambah selesalah keluarga. Sebaliknya bertambah kusut dan kewangan suami bertambah sempit. Tak sampai pertengahan bulan, wang suami sudah kering. Apabila diminta dari isteri, isteri menganggapnya sebagai hutang. Aduh, malang nasib sahabatku. 

Penyelesaiannya... tidak lain adalah kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan. 

1. Si suami mesti faham dan akur bahawa harta isteri adalah milik isteri. Si suami tidak boleh pandai-pandai mengguna atau memaksa si isteri menggunakan wang itu untuk menguruskan perbelanjaan keluarga. 

2. Si isteri pula mestilah menghargai keizinan si suami untuk dirinya mendapat pendapatan sebegitu, dan faham bahawa perbelanjaan si suami menguruskan rumahtangga bertambah dengan banyaknya apabila si isteri keluar bekerja. 

Di sinilah perlunya kebijaksanaan masing-masing untuk saling menghargai hak masing-masing dan saling memberi untuk menguruskan keluarga. 

Tidak dilupakan, satu masalah penting yang terpaksa ditanggung oleh sahabat saya ini apabila isterinya keluar bekerja ialah... dosa-dosa yang dilakukan oleh si siteri di luar rumah itu turut terbeban pada dirinya kerana isteri di bawah tanggungjawab suami. Mana-mana suami pun begitu. Sudahlah perbelanjaan menguruskan keluarga semakin bertambah, dosa pun bertambah kalau si isteri tidak memelihara dirinya dengan batas-batas agama di luar rumah. 
 
time for salah

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...